Orang yang sanggup memberikan cinta adalah orang yang kuat kerana mampu mengalahkan keinginannya untuk mementingkan diri sendiri
Bercinta dengan Anak Tunggal
Kebiasaannya anak tunggal kaya dengan perasaan. Kekayaan perasaan ini menjadikan mereka individu yang lebih sensitif. Ini adalah kerana mereka telah terbiasa dengan limpahan kasih sayang dari ibu bapa yang sememangnya tidak berbelah bahagi. Dalam erti kata lain, ada kalanya mereka tidak menghiraukan perasaan orang lain ataupun terlalu mengambil berat, bergantung pada cara mereka dididik.
Individu yang ditakdirkan bercinta dengan anak tunggal haruslah memahami bahawa anak sebegini biasanya mendapat perhatian yang lebih daripada ibu bapanya. Mereka amat mengambil berat perihal anak tersebut termasuk dengan siapa anaknya berkawan dan siapa bakal pasangan hidupnya. Pergerakan anak tunggal terbatas dengan pengawasan ataupun kongkongan daripada ibu bapanya. Oleh itu anda haruslah berhati-hati dalam menjaga hati kedua-dua ibu bapa anak tunggal ini. Anda juga harus berhati-hati dan bijak dalam menawan hati anak tunggal yang serba kaya dengan perasaan dan perhatian daripada kedua-dua ibu bapanya.
Bercinta dengan Anak Orang Miskin
Bercinta dengan pasangan yang datang daripada keluarga miskin memerlukan kesediaan dan pengorbanan untuk turut berada dalam suasana yang susah dan serba sederhana. Anda harus cuba sedaya-upaya menjadi individu yang merendah diri, tidak sombong dan fleksibel dalam apa jua keadaan. Maknanya, anda harus bersedia untuk makan di atas lantai ataupun mandi air perigi ataupun air kolah yang sejuk dan melakukannya dengan hati yang rela supaya tidak menyinggung perasaan keluarga pasangan yang serba kekurangan.
Kemiskinan bukanlah suatu keadaan yang mutlak. Apabila di awal perkenalan anda dengan teruna ataupun gadis itu, keluarganya berada dalam kemiskinan, keadaan mungkin akan berubah dengan adanya kehadiran anda dalam keluarga tersebut. Kemiskinan boleh diubah menjadi sederhana ataupun berada bergantung kepada ketekunan keluarga tersebut untuk memperbaiki mutu kehidupan dan pendapatan mereka. Keadaan akan menjadi lebih baik lagi sekiranya anda datang daripada keluarga berada yang pemurah dan berhati mulia.
Bercinta dengan keluarga miskin sepatutnya menjadikan anda seorang yang insaf dan bersyukur dengan keadaan hidup yang serba cukup dan mudah. Anda harus menjadi insan yang prihatin kepada perasaan keluarga miskin kerana mereka sudah puas merasa kesusahan hidup dengan bebanan kewangan yang sentiasa berlarutan. Anda harus bersedia dengan kewangan yang cukup kuat bagi membantu keluarga bakal isteri ataupun suami untuk berubah dan menikmati kehidupan yang lebih baik apabila anda ditakdirkan menyertai keluarga itu nanti.
Bercinta dengan Anak Keluarga Berada
Pertentangan cinta antara dua darjat sentiasa berlaku dalam masyarakat kita. Keadaan ini berlaku apabila golongan berada terlalu mementingkan status dan kedudukan mereka. Maka dalam hal ini, anda haruslah memahami psikologi keluarga yang berada atau kaya. Sekiranya anda seorang yang rajin, berani dan tabah, anda boleh bersedia untuk memenangi hati dara ataupun teruna yang berasal dari keluarga kaya. Sebaliknya jika anda tidak berani menanggung risiko, malas berusaha untuk mengubah status ekonomi keluarga dan tidak tabah mendengar tohmahan, cemuhan dan ejekan dari pelbagai pihak, batalkan sahaja niat untuk beristerikan ataupun bersuamikan anak orang kaya. Lebih baik perit sekarang daripada perit kemudian.
Bercinta dengan anak keluarga berada mempunyai implikasi yang tersendiri kerana anak keluarga berada biasanya memiliki stail percakapan, gaya, pakaian dan cara hidup yang agak berbeza dengan golongan kebanyakan ataupun golongan miskin. Mereka telah terbiasa dengan kehidupan elit, serba mewah, moden dan ada sesetengahnya suka menunjuk-nunjuk ataupun berlagak dengan kemewahan yang dimiliki. Tetapi bukan semua anak keluarga berada mempunyai sikap begini. Hanya segelintir sahaja sedemikian.
Apabila bercinta dengan anak keluarga berada, janganlah menunjukkan kelemahan diri walaupun anda datang daripada orang kebanyakan ataupun miskin. Tunjukkan bahawa anda juga mempunyai kelebihan walaupun bukan dari sudut kebendaan. Tunjukkan keikhlasan dan ketulusan anda bercinta bukan kerana mahukan kekayaan pasangan.
Meskipun anda tidak mempunyai harta yang banyak, anda masih boleh menguasai ilmu dan kemahiran-kemahiran yang mampu menarik hati keluarga berada tersebut. Anda juga harus membuktikan bahawa anda boleh membahagiakan anak mereka walaupun tanpa limpahan wang ringgit. Apa yang penting adalah keyakinan yang tinggi pada diri sendiri dan sikap bertanggungjawab yang mampu mengubah keadaan hidup dan keluarga untuk mencapai tahap yang boleh dibanggakan dan disanjung oleh masyarakat.
Bercinta dengan Pasangan yang Mempunyai Ramai Adik-beradik
Bercinta dengan pasangan yang mempunyai ramai adik-beradik memerlukan kesabaran, tolak ansur, berupaya untuk berkongsi, bekerjasama dan mengambil berat hal ehwal mereka. Anda harus pandai menyesuaikan diri sekiranya anda berasal daripada keluarga yang kecil bilangan adik-beradik. Selain itu, anda harus sentiasa berbesar hati menerima bakal adik ipar yang ramai. Pendek kata, anda harus sentiasa berfikiran terbuka dan berbesar hati dengan kewujudan mereka.
Anda harus bersedia melayan pelbagai kerenah dan peribadi yang ditonjolkan oleh adik-beradik pasangan. Penting juga untuk mengambil hati adik-beradik pasangan, sesekali jika mampu berilah hadiah kepada mereka. Belajar mengingati nama-nama dan peribadi mereka. Anggaplah mereka orang yang penting dan relevan dalam kehidupan anda, terutamanya selepas anda berumah tangga kelak.
Lebih baik lagi jika anda menjadi penyatu dalam keluarga, insan yang dihormati dan disanjung oleh mereka. Perkara yang utama adalah sentiasa berfikiran positif, berbaik sangka dan menjaga perhubungan, tingkah laku dan pertuturan ketika bergaul dengan mereka.
Bercinta dengan Pasangan yang Berbeza Agama dan Budaya
Bercinta dengan pasangan yang berlainan budaya dan agama mungkin menimbulkan beberapa masalah. Antara tentangan yang biasa diterima adalah daripada keluarga ataupun kawan-kawan. Anda akan di label sebagai mangsa cinta buta, menyeleweng, murtad dan sebagainya. Walau bagaimanapun tidak salah sebenarnya untuk bergaul dengan orang yang berlainan agama dan budaya, asalkan anda pandai menyesuaikan diri dan mempunyai peribadi yang kukuh dan stabil.
Apa yang anda perlu lakukan adalah mempelajari agama dan budayanya, serta belajar mengambil hati keluarganya. Islam adalah agama yang menghormati perhubungan sesama manusia, tidak mengira agama, bangsa dan negara. Hormati cara hidup mereka tetapi anda perlu ada pendirian yang teguh dengan agama sendiri. Jaga hati, tutur kata dan perlakuan ketika bergaul dengan mereka.
Gabungan budaya dibenarkan asalkan tidak melanggar hukum Islam, tetapi pendirian agama harus dipelihara. Jangan mudah terpedaya sekiranya kekasih anda mengajak tukar agama. Seharusnya dia menghormati diri dan agama anda, bukannya bercinta kerana ‘ada udang sebalik batu’. Berhati-hatilah dengan mubaligh Kristian dan Hindu yang semakin berleluasa pada hari ini. Terdapat kebaikan universal dalam setiap agama dan budaya tetapi Islam menghalang sekeras-kerasnya perbuatan murtad dan mensyirikkan Allah kerana cinta.